Kerajaan Komited Pastikan Inisiatif Digital Negara Beri Faedah Nyata Kepada Rakyat – Wilson

Facebook
LinkedIn

Kerajaan Komited Pastikan Inisiatif Digital Negara Beri Faedah Nyata Kepada Rakyat
– Wilson

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berucap pada Majlis Perasmian NextBigTech Asia 2026 di Cyberview Resort and Spa, Cyberjaya hari ini.

Kerajaan terus komited memastikan inisiatif digital Malaysia  memberi manfaat nyata kepada rakyat dan rantau ini, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata pengukuhan kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan serantau adalah kunci untuk mempercepat inovasi sambil memastikan kepercayaan, keterangkuman dan daya tahan terus dipelihara.

“Kita sedang menyaksikan perubahan ketara ke arah sistem lebih pintar, selamat dan berteraskan manusia yang dibina berasaskan kepercayaan, kerjasama dan inovasi beretika.

“Ketika Malaysia memperkasa inisiatif digital, tumpuan kita kekal untuk memastikan pembangunan ini memberi manfaat nyata kepada rakyat dan rantau ini,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan persidangan sehari NextBigTech Asia di sini hari ini.

Dianjurkan Knowledge Group of Companies, persidangan yang memasuki edisi kesembilan itu diadakan bertemakan Negara Pintar, Masa Depan Lebih Sejahtera: Menerajui AI Berteraskan Kepercayaan bagi Tadbir Urus dan Kesejahteraan Insan.

Sementara itu, Wilson berkata kecerdasan buatan (AI) kini berkembang pesat dalam mengubah cara kerajaan merancang, penyampaian dan menambah baik perkhidmatan awam, termasuk di Malaysia yang terus mencatat kemajuan dalam membina asas kukuh ke arah masa depan berteraskan data dan AI.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan kini menggunakan AI dan data bagi pengurusan trafik manakala angkatan tentera turut mengintegrasikan AI dan sistem siber-fizikal dalam operasi ketenteraan.

“Kami juga memperkasa rakyat dengan pengetahuan AI melalui platform pendidikan percuma seperti AI Untuk Rakyat. Selain itu, kami menyaksikan minat berterusan pelabur asing untuk menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka di sini,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi pertumbuhan pesat syarikat pemula niaga dan pusat data di Malaysia.