Rakyat perlu adaptasi teknologi AI, rapat jurang digital pedalaman – Wilson

Facebook
LinkedIn

Rakyat perlu adaptasi teknologi AI, rapat jurang digital pedalaman – Wilson

CYBERJAYA, 19 Mei – Masyarakat di negara ini perlu lebih cakna dan sedia beradaptasi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara AI menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong menegaskan, kegagalan mendepani perubahan digital akan menyebabkan negara ketinggalan dalam arus pemodenan.

Mengambil contoh transisi urusan harian masyarakat kini yang berubah secara drastik menerusi transaksi tanpa tunai dan komunikasi digital, berbanding kaedah konvensional sebelum ini.

“Sekarang kita lihat tiada lagi keperluan untuk beratur panjang di bank atau membawa wang tunai yang banyak ke kedai kopi. Segala-galanya di hujung jari. Jika kita tidak mengubah diri dan mengikut arus ini, kita akan terus ketinggalan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran NextBigTech Asia 2026 di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Berkongsi pengalaman sendiri yang berasal dari kawasan pedalaman rumah panjang, Datuk Wilson mengakui cabaran terbesar kerajaan adalah untuk menyebarkan pencerahan mengenai kepentingan AI kepada komuniti luar bandar.

Sehubungan itu, fokus utama Kementerian Digital kini adalah memperkukuh infrastruktur internet dan Wi-Fi di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Komitmen kerajaan amat jelas. Kita mahu memastikan tiada lagi isu rakyat di wilayah pedalaman terpaksa menaiki perahu atau menempuh kesukaran berbahaya semata-mata untuk menduduki peperiksaan atau menghadiri temu duga kerja.

“Ini adalah hasrat YAB Perdana Menteri demi memastikan kesamarataan akses jalur lebar dan komunikasi yang saksama antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI,” tegas beliau.